KENALI JIRAN KITA..KITA BERMUAFAKAT KITA DIBERKAT..AGAR HIDUP MENDAPAT RAHMAT..DARI DUNIA SAMPAI AKHIRAT..

HARI KELUARGA & SUKANEKA 2011




Aktiviti ini berjalan dengan jaya pada 1 Julai 2011 disertai oleh seluruh warga Taman Desa Kemboja dari pelbagai lapisan masyarakat dan umur. Banyak acara yang dipertandingkan seperti sukaneka kanak-kanak, pertandingan panjang , mengisi air dan banyak lagi. Acara ini dikendalikan oleh unit sukan KRT. Semoga aktiviti seumpama ini mampu meningkatkan lagi dan memupuk semangat kejiranan masyarakat setempat.

PEMBINAAN BANGUNAN TAMBAHAN SURAU

Sejajar dengan kepesatan dan pertambahan penduduknya, AJK surau Taman Desa Kemboja memutuskan untuk membina sedikit ruang tambahan untuk stor dan tempat letak kenderaan bersebelahan bangunan surau ini.Kerja-kerja pembinaan dijalankan diwaktu malam secara bergotong royong oleh penduduk setempat.Adalah diharapkan setelah siapnya bangunan tambahan ini , keselesaan jemaah dan keceriaan surau bertambah baik lagi .

PROGRAM GOTONG ROYONG PERDANA 2011


Tarikh : 30 April 2011 (Sabtu)
Tempat : KRT Desa Kemboja, Langkawi (Keseluruhan kawasan KRT)
Masa : 8.00 pagi

Semua warga KRT Desa Kemboja adalah dijemput untuk bersama-sama menjayakan program ini. Program ini akan turut disertai oleh syarikat E-Idaman yang akan menyediakan kemudahan logistik seperti lori sampah untuk mengangkut sampah sarap dan bahan-bahan terbuang untuk dilupuskan.

Di samping itu juga, satu pertandingan lorong terbersih akan diadakan pada hari tersebut. Hadiah berupa wang tunai sebanyak RM200.00 akan diberikan kepada pemenang.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1432H/2011M


Majlis Sambutan ini diadakan pada 17 Februari 2011 yang lalu.Ianya bermula dengan solat maghrib berjemaah dikuti dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Mahmud Ismail , Penyelia J-Qaf dari Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi. Setelah solat Isyak berjemaah , jemaah menikmati hidangan yang disediakan penduduk Desa Kemboja. Disamping itu, persembahan marhaban dan berzanji juga turut menyerikan lagi majlis ini. Manakalanya sebelah awal pagi keesokannya diadakan Qiamullail. Kesemua aktiviti ini dilakukan secara bergotong royong, berkerjasama dan berjemaah.Kehadiran penduduk begitu memuaskan . Inilah semangat dan iktibar yang diinspirasikan dari Maulidur Rasul ini.

KAPT ZAINOL TERSELAMAT DALAM NAHAS PESAWAT

Petang Selasa 04 Januari 2011 merupakan hari malang bagi Kapten Zainol Taib apabila pesawat amfibia Searey kendaliannya bersama seorang pembantu telah mengalami saat cemas apabila terbalik di dalam laut sewaktu membuat latihan mendarat di atas permukaan air di Pantai Tengah, Langkawi. Pesawat tersebut kepunyaan Kelab Rekreasi Udara Langkawi (KRUL) yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Kapten Zainol merupakan pengendali kelab berkenaan. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Desa Kemboja, Langkawi, Kedah.
Kejadian tersebut berlaku setelah pesawat yang pada mulanya mendarat dengan baik dipermukaan laut dan ketika dalam proses untuk berlepas semula namun tiba-tiba terbalik dipercayai terlanggar sesuatu objek di permukaan air. Berkemungkinan objek tersebut ialah batang kayu yang dihanyutkan ombak.
Beliau serta pembantunya diselamatkan oleh beberapa orang pengendali bot pelancongan di tempat kejadian sebelum ketibaan anggota Bomba dan Penyelamat Langkawi dan dihantar untuk rawatan lanjut di Hospital Langkawi.

JAMUAN HARI RAYA LORONG 2B DESA KEMBOJA



Syabas dan tahniah buat seluruh warga Lorong 2B Taman Desa Kemboja lantaran menganjurkan majlis hari raya yang sungguh meriah dan berwarna warni. Konsep yang anda pamerkan mampu mengeratkan semangat muhibbah serta kejiranan antara penduduk.